Friday, July 13, 2012

Rintihan anak peneroka.....












Oleh : Aris Hazlan Ismail

Suatu dinihari pada tahun 1977, aku dikejutkan ibu. Dipimpin dan dimandikan di bawah pokok kabung, di celah rimbunan rumbia. Di sebuah kampong bernama Temelong, dalam daerah kecil Lenggong. Dalam negeri Perak yang belum berdarul ketika itu.

Semua orang sibuk dinihari itu. Sebuah lori, dua buah kereta sedang dimuatkan bebarang. Lantas kami sekeluarga bergerak meninggalkan Temelong. Atok dah opah melinangkan air di mata. Seusia 5 tahun aku tidak mengerti erti tangisan itu. Ah pedulikan, dah tua2pun nak nangis lagi, bentak hatiku.

Kereta ku naiki membelah kedinginan subuh. Good by Perak. Tanjung Malim menggamit. Kuala Kubu mengalu. Bukit Freser didaki. Menerobos hutan Pahang. Singgah di Masjid Ketari (yang kini aku berkuliah di dalamnya).

Jalan berliku menuju ke daerah Maran. Mencari di mana terlantarnya dada Sena Jengka 16. Di kiri dan kanan jalan tiada yang lain selain hutan belantara dan tapak-tapak semaian sawit dan getah. Hampir senja, kami tiba di Felda Sena Jengka 16.

“Abah kata kita nak ke ‘Kolumpo’. Bila nak sampai,” tanyaku. Abah menjawab, “Ni kolumpo la ni.” Abah memang suka bergurau dengan anak-anak. Aku bongsu tika itu. Abang dua tahun atas daripadaku. Kakak dua tahun atas daripada abang.

Rumah Felda tersergam di hadapan mata. Sekelilingnya penuh semak dan samun. Celahan lantai dimasuki pokok tutup bumi. Paip air tiada. Elektrik tiangpun tak nampak. Telefon jauh panggang dari bara. Di situ aku dibesarkan. Bermula dengan elaun (pinjaman) sara hidup sekitar RM60. Abah cuba berniaga kecil-kecilan. Namun semua orang tiada berpendapatan tika itu, menyebabkan perniagaan abah tak ke mana.

Abah mengayuh basikal lebih 30km ke Sg Tekam mencari pokok getah untuk ditoreh buat menyara 5 perut. Beberapa lama mengambil upah menorah, tiba-tiba tuan kebun menuduh abah mencuri getahnya. Abah berhenti. Merayap pula ke kilang rotan di Bandar Jengka (dulu Bandar Pusat Jengka, kini dinamakan pula dengan nama bapa Najib, Bandar Tun Razak Jengka). Entah berapa upahnya aku tak pasti. Tapi aku pernah mengikuti abah dan mak bekerja di situ. Dari pagi hingga senja. Suasana panas, berhabuk.

Setelah pokok getah boleh ditoreh, abah menoreh pokok sendiri. Pendapatan tak seberapa. Tolak hutang kantin Felda (kemudian dipanggil kedai PNF dan kemudian dinamakan D-Mart). Tolak hutang ladang, hutang tanah tapak rumah, kos baja, kos jalan ladang (walaupun tak ada sebatang jalanpun masuk ke ladang abah), kos macam-macam. Yang tinggal hanya beberapa ringgit.

Orang sawit lagi teruk. Sawit dihantar sampai selori dua lori. Duit yang dapat hanya seringgit dua ringgit. Selebihnya semua masuk kantong Felda, dengan pelbagai nama hutang yang diadakan. Ada peneroka yang terpaksa beli beras di kantin Felda dan menjualnya di pasaran gelap dengan harga lebih rendah semata-mata untuk mendapatkan tunai buat membayar yuran anak.

Ada yang ‘menonjol’ atau ‘mengombet’ getah mereka untuk dijual di luar. Tengah malam, mereka membawa guni getah menerusi ‘jalan tikus’ untuk dijual kepada pembeli getah swasta. Tujuannya tidak lain, untuk mendapatkan wang tunai buat belanja dapur. Seringkali juga mereka terpaksa berhambat dengan Felsco (polis bantuan Felda) dan tidak sedikit juga yang jatuh longkang, getah berterabur di atas jalan.

Felda memaksa peneroka menjual hasil ladang kepadanya bagi membolehkan ia membuat seribu satu jenis potongan. Sejenis aqad yang fasid. Dengan bahasa beradabnya, “Tanah itu bapak aku punya. Bukan Felda punya. Ikut aku la aku nak jual kepada siapa.”

Walhasilnya, Felda jadi kaya. Felda boleh beli dan bina bangunan besar-besar. Boleh bayar gaji dan elaun ribu-ribu kepada pegawai tingginya. Felda boleh belanjakan 370 ribu ringgit untuk jamuan hari raya bossnya. Felda tubuh 47 anak syarikat. Dalam negara ada, di luar negarapun banyak. Bahkan Felda ada restoren di hadapan Masjidil Haram. Jun lalu, aku minum teh O ais di sana. RM4 segelas.

Ketika aku bertugas di Seremban, aku berkenalan dengan seorang rakan yang bekerja sebagai eksekutif Felda. Dia letak jawatan dan berniaga sendiri. Aku Tanya, kenapa berhenti? Dia jawab, “Aku tak sampai hati makan duit Felda. Peneroka berhempas pulas mengusahakan ladang dan hasilnya diberi kepada Felda. Tiba-tiba kami yang duduk kat atas, sewenang-wenangnya guna duit itu dengan mewah. Adakalanya kami para eksekutif hendak bermesyuarat satu jam, pihak pengurusan buat keputusan mesyuarat akan diadakan di sebuah hotel 5 bintang di Johor Bharu. Masing-masing bawa anak bini pi joli 2 minggu di sana. Semua kos selama 2 minggu itu Felda tanggung sedangkan mesyuarat hanya satu jam sahaja.”

Penghujung tahun 80an, Felda menghentikan pembukaan tanah rancangan Felda yang baru. Tanah-tanah yang diperuntukkan kerajaan-kerajaan negeri menerusi Akta GSA itu tidak lagi dibuka kepada para peneroka baru. Felda ingin tanah itu menghasilkan RM yang hanya akan mengalir kepada Felda sahaja, tidak kepada yang lain. Maka tanah-tanah itu dijadikan ladang Felda. Pekerja diimport dari Indonesia. Digajikan. Cukup tempoh mereka dihantar pulang. Dan hasil ladang itu masuk ke kantong Felda kesemuanya. Itulah dia Felda Plantation.

Bukan sedikit jumlahnya. 367,710 hektar. Jika diagihkan kepada anak-anak peneroka satu hektar seorang, 0.368 juta anak-anak peneroka yang merempat di tanah rancangan sekarang ini akan dapat tanah dan mampu membina kehidupan sendiri. Tidak perlu lagi menumpang di rumah orang tua yang sudah uzur.

Kini apabila Isa mengambil alih ‘tampuk pemerintahan’ Felda, semua harta Felda ini disatukan di bawah kangkangnya. Lembaga pengarah anak-anak syarikat ini dibubarkan. Isa melantik dirinya sendiri menjadi taukeh bagi tiap syarikat. Dilantik beberapa orang pengurus dan kerani dari kalangan suku sakatnya untuk menguruskan syarikat itu. Bahkan koperasi milik para peneroka yang dikenali sebagai KPF, turut dijajah Isa. Pengerusi KPF, Datuk Dzul disingkir. Datuk Dzul bukan orang luar. Dia Pengarah Besar Felda. Isa kemudian melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi KPF. Isa bukan peneroka Felda. Dia bukan kakitangan Felda. Dia tak layak jadi ahli koperasi Felda. Tetapi Isa rakus. Dia melantik dirinya sendiri jadi ketua koperasi ini.

Ditubuhnya FGVH (Felda Global Venture Holding). Dijemput orang yang telah merugikan ratusan juta RM beberapa syarikat gergasi sebelum ini untuk mengemudi FGVH. Semua anak syarikat Felda duduk bawah FGVH. Ladang-ladang juga di bawah FGVH.

Lalu FGVH itu diletak di atas meja lelongan di Bursa Malaysia. “Lelong lelong! Sapa mau beli. Sapa mau beli. Mai mai. Satu unit empat ringgit lima kupanglima duit.”

Kenapa nak jual? Kata mereka, untuk meningkatkan taraf hidup warga Felda. Ya kah? Betul ke? Siapa yang akan kaya memperdagangkan titik peluh peneroka ini? Penerokakah? Atau pak-pak menteri?

Modalnya dari titik peluh peneroka.
Pemegang sahamnya siapa?
Isa Samad dapat 180,000 unit.
Ahmad Sabri dapat 180,000 unit.
Dato’-dato’ dan tan sri para pemimpin umno dapat puluhan ribu unit.
Peneroka dapat berapa? Hanya 800 unit. Itupun dipaksakan berhutang dengan bank yang cagarannya adalah tanah peneroka itu sendiri.

Letih, lelah, penat abah dan peneroka-peneroka Felda, yang dapat hasil ialah Dato’ Tan Sri yang tak ada kena mengena dengan Felda. Yang bakal memiliki segala aset ini ialah kapitalis-kapitalis yang rakus dari kalangan Yahudi, Nasara, komunis dan lain-lain yang mempunyai wang.

Adapun peneroka seperti abah…. Hanya memandang dan melihat. Menghitung hari tua. Memetik biji tasbih. Menunggu Malakul Maut sambil memerhati hasil titik peluh mereka diratah oleh Isa Samad dan konco-konconya….

Dan hari ini aku terbaca satu entry FB dari sahabatku saudara Mazlan Aliman:

“Terdapat 112,635 peneroka Felda seluruh negara,
Ada 23,000 kakitangan Kumpulan Felda
Ada 45,000 pekerja Ladang Felda Plantation,
Terdapat 537,738 hektar tanah kebun peneroka,
Terdapat 367,710 hektar tanah Felda Plantation. . .

Ada 317 Tanah Rancangan Felda seluruh negara,
Ada 150 Ladang Felda Plantation,
Ada 47 Anak2 Sykt Felda,
97 peratus peneroka Felda adalah orang melayu,

FELDA adalah Institusi yang diwujudkan pada 1 Julai 1956
Ia sedang dipertaruhkan oleh Najib dan kuncu2nya....
Penyenaraian FGVH ke Bursa Msia membuka ruang kepada pemilikan asing
Sykt Yahudi, Bonge Limited dan Louis Dreyfus telah menjadi Rakan Strategik kpd FGVH
melabur dalam FGVH.
Yahudi dan Komunis telah menjadi sahabat akrab FGVH?

Adakah kita tergamak membiarkan Felda lingkup akibat pengkhianatan pemimpin Umno?
Adakah kita lupa nasib peneroka Felda Cahaya Baru, Sg Buaya, Labu Johnson, Sendayan dan Bukit Cherakah?
Menang sorak kampung tergadai....

Jom ke Himpunan Oren Selamatkan Felda 14 julai ini,
Tunjukkan sokongan dan dokongan melalui Himpunan terbesar warga Felda,
Jangan pentingkan diri sendiri;
Bersama kita mengiringi memo kepada Yang Di Pertuan Agong di Istana Negara
Hentikan penyenaraian FGVH di Bursa Msia,
Kembalikan hak peneroka Felda,

Gabungkan kekuatan menentang penkhianat dan petualang negara,
Najib, Ahmad Maslan dan Isa Samad adalah perompak harta rakyat,
Nyahkan mereka dlm PRU 13 ini,

Mulakan melalui,...Himpunan Oren Selamatkan Felda!”



sumber;gayapeneroka

Tuesday, July 10, 2012

Himpunan Orenkan Felda....




SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman mengarahkan semua ahli dan pimpinan PAS di setiap kawasan menyertai Himpunan Oren Selamatkan Felda pada Sabtu, 14 Julai ini.

Himpunan aman bermula selepas menunaikan solat zuhur di masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur jam 2 petang. 

Beliau mengarahkan semua ahli dan pimpinan PAS Kawasan-kawasan memakai baju berwarna oren tanda sokongan sokongan terhadap bantahan tersebut. 

"Program ini merupakan kemuncak yang dianjurkan PAS sebagai bantahan rakyat serta menyokong perjuangan Anak untuk membebaskan peneroka Felda daripada terus ditipu," katanya. 

Tambah beliau, bantahan itu juga terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Menurut beliau, PAS Selangor mesti menyatakan sokongan terhadap bantahan penyenaraian FGVH dalam Bursa Saham dan akan menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

"Saya ingatkan ahli dan pimpinan PAS kawasan datang awal ke Masjid Wilayah bagi menggelak tergendala," katanya.



sumber;harakahdaily

Monday, July 9, 2012

Penyenaraian FGV: Pukulan maut buat Umno PRU13




Semuanya bermula dengan pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan bajet 2012 untuk menyenaraikan Felda di Bursa Malaysia. Maka bermulalah Tan Sri Isa Samad yang belum setahun menjadi Pengerusi Felda menunjukkan belangnya. Selepas struktur penyenaraian dibentangkan kepada lembaga pengarah Felda, beberapa ahli lembaga pengarah tidak bersetuju dengan struktur penuh cadangan penyenaraian. Antara yang menentang ialah Datuk Zulkifli Abdul Wahab, Pengarah Besar Felda yang juga pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF). Masalah utama ditentang kerana Felda yang berpendapatan purata RM2.5 bilion setahun dan perbelanjaan purata sekitar RM2 bilion, hanya akan menerima RM508 juta sahaja hasil pajakan tanah-tanah Felda Plantation dan lain-lain aset Felda kepada FGV.


Ini bermakna Felda akan mentadbir dengan bajet yang berkurangan 75 peratus. Sudah semestinya juga ia adalah proses penyingkiran Felda secara tidak langsung sebagai entiti induk dan meletakkan FGV lebih atas daripada itu. Maka diberikan cuti wajib sambung belajar 9 bulan kepada Datuk Zulkifli Abdul Wahab. Penentangan juga khabarnya datang daripada orang nombor dua Felda iaitu Encik Abidin Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Besar Felda yang juga setiausaha Koperasi Permodalan Felda (KPF). Maka beliau dipindahkan daripada Felda ke Jabatan Perdana Menteri dengan tugas menjaga perpustakaan sahaja.


Lebih mengejutkan, Pengerusi Gabungan Naib-Naib Pengerusi JKKR rancangan-rancangan Felda Shamsudin Osman turut menentang. Beliau mengadakan sidang akhbar pertama dihadiri oleh 9 daripada 11 naib-naib pengerusi Wilayah Felda dan sebahagian besar pengerusi GPW (Penerokawati) Felda. Shamsudin Osman merupakan ketua kepada seluruh peneroka-peneroka di Felda di Malaysia dan beliau juga salah seorang ahli lembaga pengarah Felda.


Penentangan seterusnya daripada Datuk Zainal Hasan yang juga ahli lembaga pengarah Felda Holding dan Koperasi Permodalan Felda (KPF). Beliau merupakan peneroka Felda Sungai Nerek Pahang yang juga bekas adun Jengka 1990-1999 sebelum ditewaskan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS) 1999. Khabarnya Tan Sri Isa Samad meninggalkan mesyuarat lembaga pengarah KPF yang dirampas beliau pada awalnya selepas disergah beberapa ahli lembaga pengarah. Individu-individu lain yang turut menentang ialah Dr Kamari Kasan bekas Pegawai Khas Tan Sri Yusof Nor bekas pengerusi Felda dan Tan Sri Rozali Ismail (GWGF).


Senario yang berlaku adalah kejutan kepada Perdana Menteri. Ini kerana kesemua nama disebut di atas adalah 'orang kuat UMNO'. Datuk Zulkifli Abdul Wahab ahli UMNO di Keramat. Abidin Abdul Rahman, Pengarah setiap Pilihanraya Kecil mewakili Felda untuk membantu BN. Datuk Zainal Hasan bekas exco kerajaan negeri Pahang yang juga setiausaha UMNO bahagian Maran. Shamsudin Osman juga ajk Umno bahagian di Johor. Bermakna, penentangan bukanlah atas sifat 'kepembangangan' mereka. Tetapi atas sikap tidak dapat menerima 'keburukan dan kebusukan' terlampau dalam penyenaraian ini dilakukan oleh Najib dan Isa Samad. Ini hanya sebahagian nama-nama ternama yang disebutkan dan banyak lagi individu diperingkat pentadbiran kanan dan pertengahan Felda dan lain-lain pihak yang menentang keras usaha ini.

 

Situasi ini bakal memberi pukulan maut kepada BN dalam PRU akan datang. Ini dapat dilihat dalam beberapa hal. Antaranya individu seperti Mazlan Aliman, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka (Anak) yang konsisten menentang penindasan di Felda sejak 17 tahun dahulu. Saya yang hampir dengan beliau boleh katakan, lebih separuh 'musuh-musuh' lama beliau yang selama ini menyerang usaha beliau perjuangkan isu Felda, kini menjadi kawan. Samada dikalangan kakitangan, tokoh-tokoh Umno sendiri dan ahli-ahli koperat yang rapat dengan Felda berpatah arang menyokong perjuangan Anak. Jika 'dijelmakan' kesemua wajah mereka, pasti mengejutkan politik Malaysia dan Perdana Menteri boleh terbeliak, terduduk dan tersandar. Kerana orang yang tidak disangka yang mungkin ada talian darah, pernah sebantal, serumah juga menentang penyenaraiaan ini daripada belakang.


Keduanya di kalangan kakitangan Felda yang berkhidmat di Pejabat Felda dan anak-anak syarikat khususnya merasa tertekan dengan situasi yang berlaku. Mereka berada dalam ketidak-tentuan dengan perubahan mengejut melanda Felda. Apatah lagi 'pembuangan terancang' bos nombor satu dan dua Felda yang selama ini berkhidmat berbelas tahun bersama dengan mereka penuh gigih. Kakitangan sayangkan Datuk Zul dan Encik Abidin. Dibawah mereka dividen KPF yang turut disertai kakitangan berada pada paras cemerlang 10-15 peratus setahun dan menjadi koperasi terbaik di Malaysia. Semua yang berlaku memberi kesan kepada mereka. Maka tidak pelik, kita diberi maklumat, paling sedikit 70 peratus kakitangan Felda protes dengan kelakuan Isa Samad di Felda dan ia akan diterjemahkan dalam undi dipilihanraya. Harus diingat, kakitangan-kakitangan seramai 23 ribu ini amat berpengaruh di kalangan peneroka-peneroka Felda. Maka tidak mustahil Felda yang putih bagi pihak BN selama ini akan bertukar gelap dalam PRU akan datang.

Penulis ialah Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda di Lembah Klang.

sumber;harakahdaily

NI APA CERITA!!! Selepas Felda di Bursa Saham, minyak masak di kawasan Felda dicatu

Helloooo!!......orang Bukit Goh...ape kabor...? Nii pasaraya mana nii.. aluuhaaa niii kampung aku niii....tokdan nak goreng kropok laa jawabnyeee...

Bekalan Minyak Masak dicatu

Saya merupakan anak peneroka Felda yang dilahirkan di dalam suasana kebun kelapa sawit yang damai dan tenang. Apabila FELDA disenaraikan di Bursa Saham. Saya amat berbangga menjadi generasi Felda yang mengecapi nikmatnya.






Namun apa yang paling mengecewakan apabila saya ke pasaraya berdekatan dengan Felda Bukit Goh yang permai. Saya mendapati minyak masak dari hasil sawit tiada dijual dalam botol 2 kilogram mahupun 5 kilogram. 

 Hanya terdapat minyak import seperti minyak masak bunga matahari, minyak jagung dan minyak zaiton yang saya fikir tiada sesiapa yang sanggup memasak atau menggoreng ikan dengan minyak tersebut. 

Saya berbangga kerana Malaysia merupakan antara pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di dunia. namun mengapa minyak masak daripada kelapa sawit harus dicatu. setiap pembeli hanya dibenarkan membeli 2 kilo atau 2 paket setiap pelanggan sahaja.
Adakah sememangnya bekalan minyak sawit telah kehabisan bagi mendapatkan modal bagi penyenaraian IPO FELDA ataupun terdapat komplot dari para peniaga untuk menyimpan bekalan bagi menaikan harga minyak masak kepala sawit? Kerana apabila FELDA kini bertaraf duniam maka harga juga harus bertaraf dunia?


By: Khairul Ashinar

Wednesday, July 4, 2012

FGV - Untungnya secupak, ruginya segantang



Saham FGV (Felda Global Ventures) ditutup dengan harga RM5.39 semalam. Ini bermakna FGV telah mendapat kenaikan harga sebanyak 84 sen.  Tahniah kepada sesiapa yang mendapat tawaran dengan jumlah yang besar yang telah dibahagi-bahagikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa baru-baru ini.


 

Jika Isa Samad misalnya mendapat 5 juta saham semasa penyenaraiannya maka Isa telah mendapat keuntungan sebanyak RM4 juta jika beliau menjualnya kepada pasaran hari semalam.

Tetapi yang  saya hendak bertanya agaknya berapalah peneroka-penoroka dapat hasil dari penjualan 810 unit saham yang diheboh-hebohkan oleh pihak kerajaan itu? Jika mereka menjual saham-saham yang mereka beli melalui pinjaman bank itu, boleh ke tidak peneroka dapat membeli setidak-tidaknya sebuah kereta kancil ‘second hand’?

Seperti mana yang kita semua ketahui peneroka telah diperuntukkan sebanyak 810 unit saham sahaja bagi satu keluarga. Kalau dipatah-patahkan jari untuk membuat perkiraan ia bermakna  peneroka hanya mendapat RM680 sahaja. Pendeknya peneroka tidaklah mendapat sebanyak mana. Kalau kita dengar publisitinya dahulu seolah peneroka akan menjadi kaya raya setidak-tidaknya dapatlah setengah juta seorang, kerana peneroka telah memerah keringat mereka selama lima dekad lamanya.

Setelah ditolak kos ‘processing’ sebanyak RM200 maka  sekeluarga peneroka akan hanya mendapat sebanyak RM480 sahaja. Itu untuk satu keluarga. Kalaulah keluarga peneroka ada seramai 6 orang maka, seorang ahli keluarga mendapat RM48 seorang.  RM48 itu jika dibelikan rokok Lucky Strike yang saya hisap itu maka setiap ahli keluarga peneroka dapatlah sebanyak 4 kotak  sahaja.

Jika harganya naik sampai RM10 sekali pun sebuah keluarga peneroka hanya mendapat RM8,100 sahaja dan itu belum ditolak kos ‘pemprosesan’ yang dikenakan oleh CIMB misalnya. Dalam isu ini kita nampak peneroka hanya mendapat air tangan sahaja. Yang mendapat keuntungan besar ialah orang-orang kaya dan besar-besar yang tidak pernah menjejak kaki ke tanah rancangan Felda itu.

Setelah bertungkus lumus selama 50 tahun peneroka hanya boleh diibaratkan seperti kerbau yang membajak sawah pagi ke petang, tetapi tikus yang gemuk-gemuk memakan dengan enaknya di kepuk padi. Bagi saya peneroka-peneroka telah dipergunakan oleh pihak yang melakukan penyenaraian itu.

Tetapi apakan daya peneroka begitu terloncat-loncat kegembiraan kerana percaya kepada tindakan Najib dan pimpinan tertinggi UMNO Baru itu. Dalam isu ini peneroka-peneroka tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak kerana segala usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk membatalkan penyenaraian itu tidak mendapat kerjasama dari peneroka.

Sekarang ada peneroka yang sudah mula merasakan mereka telah dipergunakan oleh pimpinan kita untuk kepentingan saku mereka (pimpinan) sahaja. Bagi kami yang tidak boleh berbuat apa-apa kami hanya boleh berkata di dalam hati kami “padan muka!” sahaja.

Tidak tahu lah berapa lama peneroka sekeluarga boleh bertahan dengan seribu dua hasil dari penyenaraian itu. Mereka sahajalah yang akan merasakannya. Tetapi apa yang mereka akan dapat tahu tidak lama lagi ialah mereka sebenarnya tidak lagi ada kena mengena dengan FGV. KPF tidak mempunya apa-apa saham dalam FGV. KPF hanya mempunya saham dalam ‘special purpose vehicle’ (SPV), Felda Asset Holdings yang mempunyai saham besar di dalam FGV. Dividen dan sebagainya akan diterima oleh Felda Asset Holding sahaja. Lain-lain perkataan peneroka memang sudah terpisah dengan FGV bermula dari sekarang.

In the first place, apa perlunya Felda disenaraikan kalau tidak kerana kepentingan setengah pihak yang berwajib? Selalunya syarikat akan disenaraikan di pasaran saham hanya kerana satu dua sebab sahaja dan Felda tidak mempunyai alasan untuk disenaraikan.

Pertamanya jika seseorang itu telah berjaya membina syarikat peribadi mereka dengan jayanya dan ingin untuk berehat kerana elemen umur dan sebagainya mereka akan senaraikan di pasaran jika telah melepaskan syarat-syarat yang ditetapkan. Empunya syarikat akan menjual setengah dari saham mereka kepada ‘public’ dan mereka akan memberikan pemegang saham yang baru untuk menguruskan syarikat yang telah disenaraikan itu.

Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat yang baru disenaraikan itu dengan persetujuan mesyuarat agung syarikat untuk melantik ahli-ahli lembaga pengarah serta pengurus-pengurus yang berkelayakan untuk meneruskan perniagaan syarikat tersebut.

Sebab keduanya ialah jika syarikat yang ingin mengembangkan perniagaannya, mengapungkan sahamnya dipasaran merupakan cara yang paling lazim kerana dengan cara itu syarikat akan memperolehi dana awam untuk kegunaan memperkembangkan perniagaan syarikat.

Tetapi dalam kes Felda ini apa perlunya ia disenaraikan kerana Felda yang dikatakan sangat berjaya itu memperolehi perolehan sebanyak RM4 sehingga RM5 billion setahun? Felda tidak perlu mendapatkan dana dari terbitan awam tetapi kenapa ia disenaraikan juga?

Pendeknya penyenaraian Felda ini sebenarnya hanyalah untuk kepentingan pihak lain, bukannya untuk kepentingan peneroka kita…...kadang-kadang sedih juga melihat bagaimana peneroka yang telah berhempas pulas untuk meneroka tanah itu selama lima puluh tahun akhirnya setelah begitu berjaya datanglah pihak lain untuk meraih keuntungan dari penat dan jerih peneroka-peneroka selama lima dekad itu.

Peneroka hanya disogok sebanyak RM15 ribu untuk memudahkan peneroka bersetuju untuk melakukan kerja yang amat menyayat hati kepada siapa yang nampak tujuan tidak molek setengah pihak untuk menyenaraikan saham-saham Felda kepada awam.

Tapi nak kata apa? Pemimpin utama kita lupa pada dasar asal Felda itu ditubuhkan. Nampaknya peneroka sekarang ini dapat untung secupak ruginya segantang.


sumber;harakahdaily

Monday, July 2, 2012

Lagi golonganb artis berhijrah....

Terbaru, artis Sharifah Sofia mula bertudung.
Tahniah dan syukur...moga dikuatkan untuk istiqamah....Ingat, bukan sekadar bertudung aje dah boleh dikira berhijrah...biarlah bersama jiwa dan amal.


gambar sharifah sofia bertudung

gambar sharifah sofia bertudung

gambar sharifah sofia bertudung

gambar sharifah sofia bertudung
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...