Wajah terbaru Abby Fana dirakamkan jurugambar The Star, Shaari Che Mat pada 25 Februari lalu. KUALA LUMPUR: Penyampai Radio Sinar FM, Abby Fana menolak tuduhan kononnya khidmat beliau sebagai perantara Malaysia Hari Ini (MHI), TV3 ditamatkan apabila beliau membuat keputusan memakai tudung selepas mengerjakan Haji pada November tahun lalu.
Abby atau nama sebenarnya Habsah Omar,46, memberitahu mStar Online, keinginannya untuk bersara sebagai penyampai sambilan rancangan itu telah dipendamnya pada tahun lalu dan secara kebetulan telah terlaksana selepas pulang dari Mekah. “Sebenarnya sebelum pergi Haji lagi saya dah rasa nak berhenti sebab dah lama sangat saya jadi pengacara MHI. Bila pulang dari Mekah, tak sangka pula ia macam sudah tersurat. “Pada 27 Disember lalu adalah penampilan terakhir saya sebagai pengacara MHI,” katanya yang telah sembilan tahun berkhidmat di stesen televisyen itu.Abby memberitahu, hasrat untuk meninggalkan MHI dipendamnya kerana merasakan khidmatnya sudah terlalu lama dan bimbang penonton mula bosan dengan penampilan barunya itu. Kata Abby, kalau di congak tugasnya sebagai pengacara segmen pagi di stesen televisyen sebenarnya telah mencecah 14 tahun iaitu sembilan tahun di TV3 manakala lima tahun bergelar pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM1. “Kita ni bukan macam di Amerika Syarikat. Di negara itu, usia pengacara bukan ukuran. Tetapi di negara kita, kalau terlalu lama sangat nanti orang cepat jelak,” katanya.
Menurut Abby, selepas meninggalkan MHI, dia kini mahu memberi tumpuan sepenuhnya sebagai Penyampai Radio Sinar FM yang dikendalikannya sejak lima tahun lalu. Jelas Abby, tugas sebagai deejay memberi keseronokan yang luar biasa buatnya kerana dengan cara itu sahajalah dia dapat “bersosial” dengan peminat. “Saya ni tak pernah nak melepak mana-mana tempat pun. Hanya di radio sahajalah saya bersosial. Saya dapat rasakan tekanan dalam diri saya hilang,” katanya. Mengulas mengenai penampilannya bertudung yang dilihat kelihatan lebih manis kata Abby, jiwanya menjadi lebih tenang dan merasakan satu perubahan baru.
Bagaimanapun beliau mahu terus aktif melibatkan diri dalam bidang seni dan akan mempertimbangkan tawaran bergelar pengacara mana-mana program yang berkehendakkan personaliti bertudung. Menyentuh mengenai calon suami selepas bergelar ibu tunggal sejak sembilan tahun lalu, Abby yang memiliki dua orang anak iaitu Afiq Nazrin,21, dan Adli,20, serta seorang anak angkat Azra, 19 bulan, memberitahu tidak terfikir ke arah itu. Beliau lebih selesa dengan kehidupannya sekarang dan menyerahkan jodoh kepada Allah untuk menentukannya.
Dalam perkembangan lain calon Penyampai Radio Wanita Terbaik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPH2011) ini turut aktif dalam perniagaannya sebagai pembekal kelengkapan seperti perabot, zink dan plastik anak benih untuk, Felda Zon Tengah. Perniagaan yang diusahakan bersama rakan kongsi itu tekah dikendalikannya sejak tiga tahun lalu dan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan