Saya masuk politik bukan untuk jawatan, Saifuddin Abdullah
19 Oktober 2012
KUALA LUMPUR – Meskipun ditohmah dan dipertikaikan pelbagai oleh pihak kerana pembawakan watak politiknya yang dilihat berbeza dan agak liberal, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui bahawa perjuangannya membawa budaya politik baru bukan mudah.
Namun bagi wakil rakyat penggal pertama ini, ia bukanlah satu sebab atau alasan untuk beliau berputus asa dari terus mara ke hadapan.
“Saya ada kepercayaan saya sendiri dan pendirian saya sendiri tentang beberapa perkara yang asas, yang fundamental dan saya cukup yakin ia benar dan selagi ia tidak dibuktikan salah dan saya percaya ia benar, saya akan terus lakukan perkara itu," kata ahli Majlis Tertinggi Umno ini.
Katamya, "sama ada ia dapat diterima atau tidak, sama ada ia akan diterima cepat atau lambat, sama ada ia akan diterima sebahagian atau keseluruhan, pada saya, masa yang akan menentukan."
"Kita hanya perlu lakukan apa yang perlu kita lakukan,” kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian Online.
Saifuddin ditanya cabaran yang perlu dihadapinya apabila sering tampil dengan idea yang berbeza daripada kerajaan sehingga ada yang kurang senang.
Anak kelahiran Temerloh ini bertanding pada Pilihan Raya Umum 2008 atas tiket Umno-Barisan Nasional.
Beliau menang dengan undi sebanyak 21,381 menewaskan Ahmad Nizam Hamid dari PKR, yang mendapat 18,940 undi. Beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno pada 2009. Saifuddin juga merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh sejak 2009.
Beliau turut mendapat kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ciri-ciri kepimpinan dan sikapnya yang liberal acapkali mendapat perhatian umum dan ada ketikanya disalah tafsir.
Diminta mengulas tentang budaya politik baru yang dibawa beliau menyebabkan dirinya merasa tertekan apabila diasak pelbagai pihak termasuk dalam kerajaan sendiri, Saifuddin menegaskan, beliau yakin dengan apa yang diperjuangkannya.
“Tidak! Saya masuk politik bukan sebab kerjaya… bukan untuk naik pangkat, bukan untuk jawatan.
"Jadi sebab itu, saya tidak ada masalah memikirkan semua itu. Yang paling utama ialah saya ada idealisme saya sendiri.
“Yang pertama ialah integriti politik, yakni politik yang berasaskan idealisme perjuangan yang dari segi amalannya politik ilmu, bukan politik ampu, bukan politik bambu.
“Politik kebijaksanaan, ataupun politik hikmah, bukan politik sumpah seranah atau pun fitnah. Politik bakti dan bukan politik untuk meraih undi,” katanya.
Bahkan menurut Saifuddin, dalam dunia politik baru yang segar, beliau percaya kepada kerangka urus tadbir baru di mana kerajaan, golongan peniaga dan masyarakat boleh duduk semeja sebagai rakan pembangunan yang tulen di samping inovasi demokrasi.
“Landskap politik sudah berubah. Takkan kita hendak menjalankan demokrasi itu pada takuk yang lama. Kita perlu ada inovasi misalnya macam mana kita hendak menjalankan proses membuat keputusan.
“Pemikiran politik yang progresif. Takkanlah kita sudah 50 tahun merdeka, Umno dan Barisan Nasional hanya bergantung kepada kakitangan kerajaan dan profesional untuk menggubal, misalnya bajet. Bukan tidak boleh, tetapi saya kira rakyat sudah mula bertanya, yang dari Umnonya mana?” katanya lagi.
**Cayalaa udin...jom pekena gulai patin dulu. koi org pahang tapi bukan kat temerloh jerantut pun bukan....koi duk kuantay..he..he
sumber;sinarharian