Pelakon, Natasha Hudson, 29, bakal menamatkan zaman solonya bersama seorang ahli perniagaan dan juga penyanyi Carleed Khaza, 33, pada 15 April hadapan. Pasangan ini memilih Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur sebagai lokasi pernikahan dan majlis akan diadakan sekitar jam 11 pagi.
Menurut Natasha, dia dan Carleed tidak ada sebab-sebab tertentu memilih tarikh 15 April, sebaliknya tarikh itu dipilih kerana mengikut tarikh yang dicadangkan oleh pihak masjid.
Tahniah juga diucapkan kepada Natasha dengan penampilan terbarunya. Natasha kini memilih untuk mengenakan hijab dan keputusan ini dibuat ketika dia berada di Tanah Suci. Jelas Natasha, keputusannya itu bukan atas desakan sesiapa tetapi kerana pintu hatinya telah terbuka.
“Memang ramai kawan-kawan yang tidak sangka dengan perubahan saya ini. Begitu juga dengan keluarga. Namun, mereka semua gembira untuk saya dan memberikan sokongan. Carleed juga gembira dengan imej baru ini.
“Saya akan teruskan karier lakonan dan nyanyian seperti biasa kerana saya tidak menganggap pemakaian hijab sebagai satu masalah besar. Kalau Yuna boleh melakukannya, saya juga boleh. Saya percaya perjalanan hidup kita ditentukan oleh Allah. Buat masa ini saya gembira dengan perubahan ini dan mendoakan ia berkekalan,” ujar Natasha dengan nada gembira.