7 September 1981, kerajaan Malaysia menerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNB) mengejutkan pasaran saham dunia apabila mengambil alih syarikat pertanian British, Kumpulan Guthrie dalam masa kurang daripada dua jam.
Peristiwa ini dikenali sebagai ‘dawn raid’ atau ‘serangan subuh’, yang mengakibatkan timbulnya krisis diplomatik antara kerajaan Malaysia dan British. Salah seorang yang terlibat dalam operasi ini ialah Tan Sri Khalid Ibrahim, menteri besar Selangor sekarang, yang pada masa itu memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PNB.
Menyoroti peristiwa bersejarah tersebut, Tan Sri Khalid Ibrahim, dalam satu temu bualnya menjelaskan antara sebab PNB mengambil alih Guthrie adalah agar tanah-tanah ladang milik Guthrie yang diambil sejak zaman penjajahan British dapat dipulangkan kepada rakyat Malaysia.
Selepas hak milik tanah berkenaan dikembalikan, kerajaan akan menjual semula saham-saham Guthrie yang dibeli sebelumnya. “Secara zahirnya, kami mendapatkan Guthrie secara percuma,” ujar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Tahun 1935, mufti Palestin, Sheikh Amin al-Hussaini telah mengeluarkan fatwa melarang penduduk Palestin menjual tanah mereka kepada orang-orang Yahudi. Walau bagaimanapun, disebabkan tawaran harga yang lumayan dan dijanjikan pembangunan serta kemajuan di tempat mereka, para pemilik tanah Palestin ketika itu tidak menghiraukan fatwa tersebut. Mereka berlumba-lumba menjual tanah mereka untuk untung cepat. Sekarang wilayah Palestin hampir hilang daripada peta dunia.
28 Jun 2012, Felda Global Ventures Holdings (FGVH) akan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur, yang akan membuka seluas-luasnya aset Felda yang berupa tanah ladang, kilang minyak sawit dan anak-anak syarikatnya kepada dunia.
Semua manusia, termasuk pelabur-pelabur asing yang kaya-raya akan berpeluang membeli saham FGVH dan secara tidak langsung menjadi tuan kepada tanah ladang, kilang minyak sawit dan anak-anak syarikat Felda.
Keadaan ini begitu jauh terbalik berbanding apa yang berlaku pada tahun 1981, di mana kerajaan Malaysia sanggup menghabiskan wang membeli saham syarikat luar bagi memulangkan hak milik rakyat kepada rakyat.
Kini kerajaan sedia ada sanggup menjual hak milik rakyat kepada syarikat luar bagi memperoleh keuntungan cepat, yang kita tidak pasti majoritinya akan jatuh ke kocek siapa. Antara pihak yang telah ditawarkan oleh kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Kumpulan Louis Dreyfus, firma gergasi makanan yang berpangkalan di Perancis.
Sekelip mata sebahagian harta Felda dan peneroka Felda akan menjadi milik orang asing. Lebih sayu, pemilik syarikat berkenaan, Gerard Louis-Dreyfus adalah berketurunan Yahudi. Selain itu, FGVH juga dikatakan akan menjadikan Bunge Limited, sebuah syarikat pemprosesan makanan antarabangsa sebagai rakan kongsi strategik.
Bunge Limited juga merupakan perusahaan yang ada hubung kait dengan ahli perniagaan Zionis. Terdapat perbezaan ketara antara hak milik tanah dan hak milik saham. Tanah sukar dijual beli, harganya stabil dan pertukaran hak miliknya boleh dikawal oleh kerajaan.
Sementara saham pula boleh dijual beli dengan mudah, harganya tidak stabil dan pertukaran hak miliknya bebas seiring dengan bebasnya aktiviti perdagangan global. Memang pada masa kini firma-firma asing hanya akan memegang sebahagian kecil saham FGVH sementara selebihnya dipegang oleh kerajaan Malaysia, peneroka dan staf Felda, kerajaan-kerajaan negeri serta kalangan bumiputera ‘terpilih’.
Tetapi ingat, saham itu boleh dijual bila-bila masa. Mungkin suatu hari nanti ia akan dijual jika menerima tawaran harga lumayan, sama seperti penduduk Palestin yang berlumba-lumba menjual tanah mereka kepada para hartawan Yahudi dahulu.
Maka jadilah Felda, dan peneroka Felda, dan rakyat Malaysia amnya, hak milik orang asing, serta pedagang-pedagang Zionis. Hari kejatuhan kita akan diingati sepertimana kita mengingati Hari Nakbah Palestin pada 15 Mei setiap tahun.
Permulaan kepada bencana besar ini adalah pada 28 Jun nanti, hari pertama kita menyerahkan kedaulatan kita untuk direbut dan diratah oleh seluruh dunia. Maka wajarlah 28 Jun digelar sebagai Hari Nakbah Felda. Hanya satu cara bagi mencegah musibah ini daripada terjadi – batalkan penyenaraian Felda ke bursa saham.
sumber;wartasubhi