Thursday, April 5, 2012

Bazar Tok Guru berurusniaga dinar dan dirham....




(Gambar: Seorang peniaga Bazar Tok Guru menunjukkan logo 
'Kami Terima Dinar dan Dirham')



KOTA BHARU, 5 April: Sempena Tahun Melawat Kelantan 2012, rakyat serta pelancong yang berkunjung ke negeri itu boleh merasai pengalaman membeli belah di Bazar Tok Guru (BTG) dengan menggunakan matawang syariah dinar dan dirham.


Atas inisiatif anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade (KGT), kedai-kedai di BTG kini menerima urusniaga menggunakan mata wang syariah itu sejak pertengahan bulan Mac lalu.


Untuk kemudahan pengunjung dan pembeli, kedai-kedai yang menerima dinar dan dirham boleh dikenalpasti dengan dengan melihat kertas penanda bercetak 'Kami Terima Dinar dan Dirham' yang ditampal di dalam kedai atau bertanyakan terus kepada peniaga.

"Sebanyak 50 peratus peniaga di Bazar Tok Guru, Kota Bharu sudah menerima dinar dan dirham dalam jualan harian mereka dan ini adalah satu perkembangan positif ke arah mengembalikan matawang syariah kepada ummah.

"ini satu usaha murni Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," kata Pengurus Besar KGT, Mahadi Mokhtar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sementara itu, KGT juga katanya akan menganjurkan Souq Dinar Dirham bagi memberi lebih peluang kepada orang ramai membeli belah dengan menggunakan dinar dan dirham.

Beberapa program diluar Kelantan juga turut diadakan termasuk penganjuran pasar terbuka yang menjalankan jual beli menggunakan dinar dirham yang telah diadakan di Shah Alam dan Bangi baru-baru ini.

Terbaru katanya, ianya akan diadakan di Masjid Bandar Sunway, berdekatan dengan Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 7 April ini.

"KGT menjemput peniaga barangan halal untuk menyertai Pasar Terbuka Dinar Dirham tanpa yuran penyertaan dan sewaan tapak hanya perlu bawa kerusi meja sahaja," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...