Jika kamu diserang rasa takut, atau kamu diliputi perasaan sedih dan rasa gelisah menguasai perasaanmu, maka bangkitlah segera menuju solat, Nescaya rohmu akan kembali padamu dan jiwamu menjadi tenang. Sesungguhnya solat menjadi penanggung atas izin Allah SWT untuk menghilangkan kesedihan yang berpanjangan dan kesusahan serta mengusir benih-benih kepedihan.
Ini kerana solat adalah penyejuk matanya, kebahagiaannya dan kebanggaannya. Aku telah menelaah biografi orang-orang besar dahulu, apabila mereka ditimpa kesusahan dan menghadapi ujian, mereka bangun menuju solat dalam keadaan khusyuk hingga kembalilah kekuatan dan semangat mereka.
Sesungguhnya solat khauf disyariatkan untuk dilakukan disaat-saat yang menakutkan, dihari kucar kacirnya sekumpulan manusia, bergelumangnya jiwa dibawah ancaman hujung pedang. Ternyata peneguh yang paling besar dan penenang yang paling agung, adalah solat dengan khusyuk.
Sudah seharusnya generasi yang telah diserang pelbagai penyakit jiwa berkenalan dengan masjid dan meletakkan dahinya diatas tanah untuk mencari keredhaan Tuhannya terlebih dahulu. Hendaklah ia menyelamatkan jiwanya dari seksa yang pedih ini. Sebab kalau tidak, maka air mata akan membasahi kelopaknya dan kesedihan akan menghancurkan urat-sarafnya, sedangkan ia tidak memiliki kekuatan yang dapat membantunya dengan ketenangan dan keamanan, melainkan dengan solat.
Ini termasuklah nikmat yang agung apabila kita sedari, di antaranya adalah solat lima waktu sehari semalam merupakan penggugur dosa-dosa kita, mengangkat kedudukan kita disisi Tuhan kita. Dia adalah ubat yang agung untuk musibah kita, ubat yang mujarab bagi penyakit kita, dituangkan di hati kita takaran yang bersih dari keyakinan yang akan memenuhi lubuk hati kita dengan perasaan redha.
Adapun mereka yang telah menjauhi masjid dan meninggalkan solat, mereka berpindah dari kesusahan menuju kepada kesusahan yang lain, dari kesedihan menuju kesedihan dan celaka menuju celaka.