Adakah naik harga cara mendidik rakyat?
Halimah Ali, |
Setiap kali subsidi dikurangkan ataupun tarif utiliti dinaikkan, kerajaan akan berkata ia dilakukan untuk kebaikan rakyat. Misalnya, apabila subsidi gula dikurangkan, ia didakwa dilakukan bagi mendidik rakyat supaya menjaga kesihatan dan mengurangkan pengambilan gula.
Apabila tarif air hendak dinaikkan pula, ia didakwa bagi mendidik rakyat supaya tidak membazir. Kini, kedengaran cakap-cakap bahawa tarif elektrik akan dinaikkan. Media pro-kerajaan sudah pun menyiarkan iklan tentang rakyat Malaysia yang didakwa suka membazir tenaga elektrik. Malah pihak berkenaan juga mengatakan bahawa tarif elektrik perlu dinaikkan bagi mendidik rakyat Malaysia agar berjimat cermat dan menggunakan alat yang menjimatkan tenaga (energy saving appliances).
Apabila tarif elektrik meningkat, ia akan terus membebankan rakyat. Kini, rakyat sebenarnya sudah pun cukup terbeban apabila bil elektrik meningkat berkali ganda selepas TNB menukar meter elektrik. Setelah meter ditukar, ada pengguna yang bil elektriknya meningkat hampir 100% walaupun penggunaan tenaga tidak berubah. Ini tidak masuk akal. Adakah ini yang dimaksudkan dengan mendidik rakyat?
Walaupun TNB sudah mengumumkan bahawa buat sementara waktu, penukaran meter dihentikan, namun bagaimana dengan bil-bil terdahulu? Selain itu, tindakan TNB hendak mewujudkan SOP tentang cara meningkatkan keyakinan penggunan juga bukanlah tindakan yang dapat menyelesaikan masalah.
Hakikatnya adalah kebanyakan rakyat Malaysia tidak menggunakan air dan elektrik secara berlebihan. Hanya segelintir yang suka membazir.
sumber;harakahdaily