KUALA LUMPUR, 17 Mac: Rakyat Malaysia beragama Islam memerlukan penyelesaian yang lebih komprehensif melibatkan isu makanan halal.
“Untuk itu, undang-undang perlu digubal bagi mewajibkan pengusaha bukan Islam meletakkan label ‘makanan tidak halal’ bagi mana-mana makanan yang dijual di pasaran terbuka,” kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.
Menurutnya, undang-undang itu membolehkan tindakan undang-undang diambil kepada pengusaha sekiranya terbukti memasukkan bahan-bahan tidak halal tanpa dibuat sebarang perisytiharan.
“Undang-undang ini lebih sesuai dengan realiti Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah muslim, bukan sebaliknya iaitu rakyat muslim adalah minoriti,” ujarnya.
Beliau menambah, pengguna Muslim akan terasa lebih terjamin bahawa makanan di pasaran terbuka adalah halal selagi tidak ada tanda atau ‘label tidak halal’.
Apatah lagi, ujarnya dalam realiti Malaysia yang kebanyakan pengilang makanan adalah di kalangan bukan Muslim.
Katanya, peraturan meletakkan tanda halal yang sedia ada sekarang masih belum cukup untuk menghilangkan kebimbangan Muslim bahawa makanan di pasaran terbuka adalah halal terutama melibatkan makanan ringan yang diminati oleh anak-anak kecil.
Malah, tambahnya makanan yang dilabelkan ‘Halal’ pun masih membuka ruang dipalsukan hingga menimbulkan was-was di kalangan pengguna Muslim.
Dalam kaedah Islam, jelasnya asal pada makanan ialah halal selagi tidak terbukti ada padanya unsur tidak halal.
Katanya, kaedah ‘asal makanan adalah halal’ menggambarkan keluasan hukum Islam.
Jelasnya, kaedah itu dipetik menerusi firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 29 yang bermaksud: “Dialah yang menciptakan untuk apa yang ada di bumi ini semuanya”.
Menurutnya, makanan yang tidak dilabelkan dengan status halal tidak bererti haram.
Oleh itu, katanya peraturan yang lebih diperlukan ialah mewajibkan label ‘tidak halal’ pada makanan yang ada unsur tidak halal, bukan sebaliknya iaitu meletakkan label ‘halal’ pada makanan halal sebagai jaminan ia adalah makanan halal.
sumber;harakahdaily