Tuan Pengetua,
Mesyuarat tergempar dipanggil pada petang itu. Maka terpaksalah saya memohon cuti daripada anda, kerana sememangnya saya tidak dapat menghadiri mesyuarat itu. Anda tanyakan saya, ke mana saya pergi? Malah mengatakan bahawa keesokannya Sabtu, ke mana saya nak pergi sehingga tergesa-gesa pula? Saya berdolak-dalih. Saya berkata saya telah memohon cuti lebih awal lagi, dan anda telah luluskan. Anda tidak mendesak lagi. Namun saya telah merancang dalam hati saya. Seandainya secara terus-terang anda tanya, adakah saya menghadiri BERSIH 3.0, saya akan mengakui secara jujur.
Tuan pengetua, saya telah memohon cuti pada 5 April. Dalam borang permohonan cuti, saya mengisi "urusan peribadi". Mungkin anda tidak akan mengaitkannya dengan BERSIH. Sememangnya ia adalah urusan peribadi.Dan ia juga hal negara yang mustahak. Bukankah pihak sekolah suka berkongsi teori Maslow dengan pelajar? Ya, saya mempunyai keperluan sosial saya. Malah saya mahu merealisasikan diri saya. Pada saat-saat yang genting ini, sememangnya saya tidak sanggup mengurung diri saya di sekolah hanya kerana mahu mengajar pada hari itu. Sememangnya saya tidak sanggup untuk berkongsi dengan pelajar saya, apa itu BERSIH, dan kemudiannya, kembali duduk di depan komputer dan mengalirkan air mata saya, setelah melepaskan ketidakpuasan.
Tuan Pengetua, tahukah anda? Setiap hari, kita bekerja dalam keadaan yang sejahtera di sekolah, berulang-alik dari bilik guru ke bilik darjah. Pelajar bersopan-santun di depan kita. Suasana sekolah aman dan sentosa. Sebagai seorang guru, saya memilih untuk ke jalan raya pada hari ini. Tak takut saya kepada mentari yang terik mahupun hujan yang lebat. Tak gentar saya berdepan dengan gas pemedih mata dan meriam air berkimia. Tak takut juga andainya saya ditangkap polis... Namun saya takut pula untuk memaklumkan anda bahawa saya nak hadir perhimpunan BERSIH 3.0. Ini kerana saya takut anda tidak meluluskan pemohonan cuti saya. Bukankah ia sesuatu yang memilukan? Mengapa saya anggap anda tidak benarkan? Kerana anda mungkin tidak faham betapa besar maknanya keputusan ini untuk diri saya.
Negara kita sudah jatuh sakit. Saya tidak mahu melihatnya sakit tenat, sehingga tidak terubat...
Saya tidak mahu mendidik anak murid saya untuk cintai bumi ini, buatlah kerja untuk menjaga alam ini, meleter ini dan itu - tetapi tercengang menatap pembinaan kilang Lynas di tanahair kita. Saya tidak mahu menjelaskan apa itu "melayan nyawa manusia bagai lalang" (peribahasa cina), namun saya gagal menjelaskan kepada pelajar saya bagaimana Teoh Beng Hock menemui ajal. Saya tidak mahu berkuliah, mengajar apakah keistimewaan yang ada dengan bangunan bersejarah di negara kita, tetapi saya perlu membaca al-fatihah untuk Jalan Sultan yang mungkin dirobohkan.
Saya tidak mahu hanya meminta pelajar kita untuk menyanyi lagu Negaraku, berulang-kali di perhimpunan mingguan - sebagai tanda hormat dan cinta kepada negara, tetapi tiada cara lain untuk saya membuktikan bahawa ini negara saya, mengapa perlu saya mencintainya? Banyak persoalan yang tidak berani saya jawab secara terus apabila diajukan pelajar. Banyak peristiwa yang berlaku di negara kita, dan nilai yang kami pegang amat berbeza. Tiada gunanya kita mengajar banyak tanpa sebuah negara yang bersih. Semakin banyak kita mengajar, anak murid kita akan membalas, "Kau bohong!" Jadi, saya mesti menyumbang apa yang mampu, meskipun sikit tetapi bermakna. Jangan kita tunggu sehingga berambut putih, barulah kita menyesal tanpa boleh berbuat apa-apa. Tuan pengetua, saya tidak mahu lagi mendidik anak murid kita dengan teladan yang negatif.
Tuan pengetua, bukankah aktiviti yang bermakna seharusnya digalakkan? Kitar semula bahan buangan, menghiasi dinding rumah orang tua, menyambut Hari Kanak-Kanak di rumah anak yatim... Bukankah kita sering menggalakkan agar anak murid kita bergiat aktif untuk menyertai aktiviti yang bermakna? Mengkayakan pengalaman hidup kita, belajar untuk berbakti. Lebih baik jika ibu bapa hadir bersama anak-anak dalam aktiviti sedemikian.
Saya juga terserempak dengan ibu bapa di tempat berhimpun. Mereka mendidik anak dengan jasad dan jiwa mereka tentang apa itu keadilan. Sememangnya tiada alasan untuk kita melarang mereka daripada memohon cuti untuk hadir. Hanya satu hari kita tidak belajar di sekolah, biar kita keluar sekolah - belajar sesuatu yang tidak dapat diajar guru. Semestinya pengalaman itu akan memahat di hati sepanjang hayat mereka.
Saya berharap agar anda juga sama seperti tuan pengetua sekolah lain, menyeru guru membeli baju kuning untuk menyokong pilihan raya yang bersih. Saya berharap anda boleh turun ke jalan raya sebagaimana yang dilakukan pengetua sekolah lain.
Saya lebih berharap anda mengumumkan cuti satu hari, memberi kelapangan kepada guru dan pelajar untuk memilih agar turun ke jalan raya pada saat-saat yang bersejarah ini. Namun, jelas, saya terlebih fikir. Untuk puluhan tahun pendidikan Cina ditindas, kita cuba berdikari, tabah untuk berdepan dengan situasi yang sukar ini. Namun selama ini kita hanya menjerit, kita menuntut sijil peperiksaan sekolah menengah Cina swasta diiktiraf, menginstitusikan peruntukan dana kepada sekolah Cina. Jeritan tetap jeritan selepas puluhan tahun. Seandainya kita tidak mempunyai pilihan raya yang bersih, tiada satu kerajaan yang akur kepada suara rakyat - mereka tidak akan mendengar meskipun betapa lantang kita menjerit...
Tuan pengetua, saya akan menebus kelas yang dilapangkan kerana cuti saya. Jangan bimbang. Tetapi seandainya saya tidak turun ke jalan raya kali ini, saya rasa untuk seumur hidup saya tidak dapat menebusnya. Akhir kata, saya merakamkan penghargaan kerana anda meluluskan permohonan cuti saya. -MR
sumber;greenboc
No comments:
Post a Comment