Thursday, September 6, 2012

'Durian runtuh' dah semakin runtuh....wahai wargaku....bangkitlah...!





Akhirnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad 
Maslan mengakui 800 unit saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) yang diagihkan kepada peneroka semasa penyenaraian dulu, adalah dalam bentuk hutang dan bukannya pemberian atau ‘durian runtuh’.

Pengakuan tersebut diucapkan oleh Ahmad semasa menutup Kem Anak Muda Generasi Felda (Kemuda) dan Kursus Induksi Permuafakatan Siswa/Siswi Felda (Persada) 2012 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang baru-baru ini.
 

Cuma cara pengakuan beliau itu agak lunak sedikit iaitu dengan mengatakan “peneroka tidak perlu lagi membayar kepada bank mulai bulan depan apabila hutang mereka itu diambil alih Felda” setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan dana RM360. 

Di bawah tajuk berita “Felda ambil alih hutang peneroka beli saham mulai 1 September” yang disiarkan sebuah akhbar, Ahmad berkata, peneroka akan membayar balik kepada Felda dalam tempoh lima tahun iaitu kira-kira RM50 sebulan.

Tambahnya, pembayaran balik kepada Felda dilakukan dengan potongan pendapatan daripada hasil tuaian ladang peneroka. Dengan lain-lain perkataan, saham FGVH yang diagihkan kepada peneroka adalah hutang yang mesti dibayar (melalui potongan) sama seperti hutang-hutang lain (baja, membesarkan rumah, tanah ladang, jalan pertanian dan lain-lain).

Jadi apa hebatnya peneroka mendapat saham jika pemberian tersebut dikira hutang? Sedangkan Timbalan Menteri yang juga Ketua Penerangan Umno itu pernah berhujah di parlimen satu ketika dulu berhubung penyenaraian saham FGVH bahawa tujuannya untuk meningkatkan taraf hidup peneroka.

Setelah dihamburkan dengan pelbagai janji yang indah-indah kononnya peneroka akan melalui tranformasi besar dalam kehidupan baru mereka, kononnya peneroka akan keluar daripada tradisi berladang kepada pemain saham dunia apabila saham kedua terbesar selepas Facebook itu disenaraikan, rupa-rupanya 112,635 warga peneroka masing-masing hanya mendapat 800 unit. Itupun dikira berhutang.

Dalam berita tersebut juga, Ahmad mengaku jumlah keseluruhan pemilikan saham peneroka hanya 5%. Bakinya dijual kepada bukan peneroka dan pelabur-pelabur luar negeri. Manakala 180,000 unit saham yang dianugerahkan kepada Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, tidak diketahui sama ada dikira hutang atau sebaliknya.

Jadi inikah  maksud Ahmad Maslan bahawa peneroka akan dapat manfaat besar daripada penyenaraian saham FGVH? Bagaimana pula nasib tanah rizab Melayu seluas 360,000 ekar yang dicagarkan selama 99 tahun?



 

Hutang saham: Kenapa tidak bercakap benar?

Apa yang menjadi kemusykilan banyak pihak, kerajaan dan Felda tidak berkata benar ketika mahu menyenaraikan FGVH ke Bursa Kuala Lumpur 28 Jun lalu.

“Sudah jenuh kami berkempen sebelum ini mengatakan saham 800 unit yang diberi bukan dengan percuma, tetapi amaran kami itu bukan saja dipandang sepi malah kami dicerca dan dihina kononnya kami pengkhianat Felda.

“Tetapi sekarang Ahmad Maslan sendiri sahkan bahawa saham itu bukannya durian runtuh atau percuma, tetapi hutang,” kata Pengerusi Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) negeri Pahang Abdul Rahim Abdul Rahman yang ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kuala Krau baru-baru ini.

Beliau merupakan salah seorang daripada 8 peneroka yang memfailkan saman terhadap Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Temerloh bulan lalu kerana ungkapan menghina ‘haram jadah’ terhadap mereka.

Sebelum penyenaraian FGVH, Pakatan Rakyat, Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) dan aktivis-aktivis peneroka yang bergabung dalam Gerakan Selamatkan Felda (GSF) membuat road show di seluruh negara bagi menghalang penyenaraian FGVH. Himpunan Oren juga diadakan pada 14 Julai lalu bagi memohon Yang Dipertuan Agong masuk campur kerana penyenaraian FGVH tidak menguntungkan peneroka tetapi beberapa kerat individu tertentu. 

Meskipun gagal menghalang penyenaraian FGVH, sekurang-kurangnya mereka berjaya menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada terjerumus sama dalam penyenaraian FGVH.

Usaha selamatkan Felda dicemuh pro Umno

Malangnya mereka diherdik dan dicemuh semahunya oleh kumpulan peneroka pro-Umno yang memang pengampu kerana berkepentingan lalu mereka membuat demonstrasi di sana sini serta menghalang pihak tersebut memberi penerangan kepada umum.
 

 
Laporan polis juga dibuat seluruh negara bagi menggambarkan pejuang-pejuang nasib warga Felda itu pengkhianat. Cercaan demi cercaan dihamburkan bagi melemahkan semangat mereka.

Kemuncaknya ialah apabila Najib sendiri ketika mengumumkan "durian runtuh" di Jengka 8 Mei lalu menggelarkan pejuang kebenaran warga Felda sebagai haram jadah. Sudah tentu ia amat memeranjatkan kerana ungkapan  itu paling kasar, biadab dan tidak bertamadun yang pernah diluahkan oleh seorang Perdana Menteri terhadap rakyatnya. Ungkapan menghina itu pula dibuat di hadapan lebih 40 ribu yang hadir dan liputan langsung media.

Tidak cukup begitu, ketika para peneroka tersebut mengambil wang hak mereka sendiri yang diumumkan Najib sebagai "durian runtuh", media pro-Umno terus mengaibkan mereka seolah-olah "keselak" atau kemaruk sangat dengan wang yang diagihkan Felda itu.

Najib sendiri ketika berceramah di Pekan, terus mengaibkan mereka dengan gelaran "muka tak malu".

Namun apabila sebuah akhbar harian menyiarkan kenyataan Ahmad Maslan bahawa saham sebanyak 800 unit itu sebenarnya hutang, ia mula mendedahkan apa yang sebenarnya kerana sebelum ini pihak kerajaan dan Felda tidak berkata benar atau sengaja menyembunyikannya.

Ahmad Maslan turut membenarkan, pemilikan saham peneroka seluruh negara hanya berjumlah 2.5 peratus secara keseluruhan. Jadi benarlah dakwaan dan amaran yang pernah diberi oleh PR, Anak dan GSF. Bahkan amaran risiko harga saham turun naik, memang tepat. Lihatlah saham FGVH terus merudum. Tidak sebagaimana janji pemimpin Umno bahawa jika saham Felda disenarai, peneroka-peneroka akan menjadi kaya raya, dapat durian runtuh dan akan mengalami perubahan besar dalam kehidupan selepas 50 tahun!

Akhirnya semuanya temberang. Yang betulnya hanyalah amaran PR, Anak dan GSF tadi. 

“Sudahlah peneroka yang majoritinya berusia 50 tahun ke atas itu dipaksa berhutang, apa pula yang mereka tahu tentang bermain saham? Malah hutang yang dipaksa ke atas peneroka bukannya mereka yang untung tetapi dikaut oleh bank, peguam dan broker.

“Inilah yang Pakatan dan  GSF perjuangkan sekarang,” kata Abdul Rahim.

Tambahnya, jika saham terus menjunam dan peneroka tidak mampu membayar balik hutang bank apa yang akan terjadi? Oleh itu jangan diperkecilkan jika peneroka berasa bimbang dengan tergadainya tanah ladang 10 ekar dan tapak rumah mereka.

“Jadi kami dari Bangkit dan GSF bertungkus lumus menyelamatkan nasib peneroka kerana tidak mahu bak kata pepatah ayam terlepas tangan bau tahi,” katanya.


sumber;harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...