Hari-hari hitam untuk masyarakat pelbagai bangsa negara kita telah tiba. Atmosfera kehidupan kita telah berubah. Sifat kemanusiaan dalam diri masyarakat kita sudah punah, hancur.
Ini yang kerap kali saya labelkan sebagai kesundalan masyarakat.
Kesundalan ini saya definisikan sebagai kebejatan moral dan akhlak yang membarah. Membarah dengan begitu kronik dalam setiap lapisan hierarki masyarakat kita. Bermula daripada sehina-hina anggota masyarakat hinggalah kepada yang gagah berkuasa. Perhatikanlah perjalanan hidup masyarakat dan jujurlah dengan pemerhatian kita. Si pemegang kuasa, dengan rakus serakah melahap dan merompak hasil kekayaan bumi sendiri untuk kepentingan peribadi. Amanah dipersetan, hingga sanggup dibiarkan rakyat yang miskin bertambah miskin hidup sebagai gelandangan. Ini fakta.
Golongan muda dan nafsu terus jadi teman setia. Mereka diperdaya keghairahan godaan-godaan dunia. Kini negara ini jadi negara maksiat. Dalam keghairahan politikus berikhtiar menjadikan negara ini Negara Maju, Negara Madani, Negara Berkebajikan atau apa sahaja nama yang bersesuaian dengan ideologi mereka, terlebih dahulu negara ini telah menjadi Negara Zina. Negara Zina yang telah menjadi pengeluar bayi luar nikah yang sangat produktif. Negara Zina yang akhirnya menyaksikan ibu bapa membunuh bayi luar nikah tadi sewenangnya, seakan nyawa manusia ini tidak ada nilai walau sebesar zarah sekalipun. Kita semua maklum bunuh bayi adalah perlakuan tidak bertamadun masyarakat Arab jahilliyah dan apabila masyarakat kita mewarisi perlakuan hodoh ini, telah terbukti satu lagi bentuk kesundalan masyarakat. Ini hakikat.
Minda kita disuap dengan berita bahawa negara ini aman harmoni. Berpijaklah pada bumi yang nyata. Apa yang harmoninya jika jauh di sudut hati kita masih diburu ketakutan kepada jenayah dan kejahatan? Secara peribadi, jenayah yang paling terkesan di hati saya ialah yang membabitkan wanita sebagai mangsa. Rogol, simbahan asid, cabul dan lain-lain. Apakah maruah wanita begitu rendah untuk mereka diperlakukan sebegitu rupa? Apakah harga diri mereka begitu murah untuk dikhianati tanpa belas? Wanita juga adalah manusia. Mereka perlukan perlindungan. Jika masyarakat di luar sana tak mampu untuk menjadi masyarakat yang melindungi, jangan pula kalian jadi masyarakat yang merosakkan. Konsepnya mudah.
Cukup sekadar itu sebahagian kebejatan dalam masyarakat saya nukilkan secara umum. Sedarlah, kita tidak lagi hidup dalam keadaan yang selamat. Kita kini hidup di tengah-tengah masyarakat yang defisit moraliti dan bankrap akhlak. Kita perlukan pembaharuan. Cukuplah kebejatan yang kita tanggung kesan daripada menyemai benih sekularisme sejak negara ini merdeka. Carilah penawar kepada racun sekularisme ini. Penawarnya ialah dengan kita berpatah kembali ke pangkal jalan. Jalan yang dimaksudkan ialah jalan yang disediakan oleh Tuhan yang Maha Melindungi. Jalan yang terjamin di sisi agama, jalan pedoman yang akan menghapuskan kesemua kebejatan ini.
Kepada yang masih ragu-ragu bahawa sistem masyarakat kita telah hancur dan binasa, perhatikanlah perjalanan hidup masyarakat dalam negara bertuah ini dan yang paling penting, berlaku jujurlah dengan pemerhatian kalian.
sumber harakah online
No comments:
Post a Comment