KUALA LUMPUR 1 Feb. - "Ini berus cat sahaja amoi, bukan makanan mahu pilih halal atau haram. Ramai orang Islam suka beli ini berus. Jangan risau amoi. Ambil sahaja mana awak mahu, saya boleh kasi diskaun."
Situasi begini bukan perkara luar biasa jika kita mengunjungi kedai-kedai cat sekitar ibu kota dan bertanyakan tentang status berus yang dijual.
Malah, ada penjual yang lebih berani sehingga sanggup 'bersumpah' tidak berniat menjerat pengguna Islam semata-mata mahu melariskan barangan kegunaan 'haram' yang dijual mereka.
"Kita tahu sensitiviti orang Islam, babi itu haram. Mana ada kita mahu tipu sama awak atau pelanggan Islam lain. Jangan percaya dengan itu cerita. Semua gosip sahaja.
"Cuba awak fikir, itu binatang mana ada bulu. Kulit sahaja kan. Mana boleh mahu kumpul buat berus cat yang tebal serupa ini macam. Tak logikkan?" kata seorang peniaga lelaki berketurunan Cina.
Bagi pengguna Islam yang tidak memahami, pasti dengan mudah boleh terpedaya dengan teori serta tipu-helah peniaga terbabit.
Apatah lagi, bila dimomokkan dengan keistimewaan berus cat bulu babi yang dijamin berkualiti tinggi khususnya daripada segi sapuan dan serapan berbanding berus sintetik.
Hal sama turut dilihat melalui tinjauan wartawan ke sebuah kedai kecantikan di pusat beli-belah terkemuka di ibu kota.
Biarpun jelas terdapat label diperbuat daripada bulu babi pada sikat yang dijual, pembantu jualan bukan Islam kedai terbabit tetap tidak berputus asa mahu wartawan menyentuh sikat tersebut.
Lebih mengecewakan, pembantu jualan itu juga sanggup membuka bungkusan sikat bagi membolehkan wartawan merasai tekstur lembut bulu babi yang terdapat pada sikat tidak halal itu.
--------------------------------------------------------------------------------------------------
BOIKOT BARANGAN DIRAGUI HALAL
KUALA LUMPUR 1 Feb. - Sikap pengguna Islam yang tidak mengambil berat tentang status sesuatu produk sama ada ia halal atau tidak, merupakan punca berleluasanya penjualan barangan kegunaan 'haram' di negara ini.
Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Dr. Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi berkata, pengguna Islam sewajarnya bersatu memberi tekanan terhadap sesuatu barangan yang didapati haram atau diragui status halalnya.
"Pengguna Islam sepatutnya menggunakan kuasa yang mereka ada untuk memboikot kesemua barangan yang diragui status halal dan bukannya terus menyokong pembelian produk itu.
"Paling merisaukan, sebahagian besar barangan kegunaan yang terdapat di negara ini terdiri daripada produk yang diimport, misalnya perkakas makanan seperti pinggan mangkuk, peralatan persolekan, berus cat mahupun sumber fabrik yang dipakai setiap hari," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Tambah Che Wan Jasimah, peranan pengguna adalah penentu dalam menangani hal itu memandangkan pengesahan dan penggunaan logo halal tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya melalui proses undang-undang.
Pada masa sama, beliau tidak menafikan kesedaran daripada para pengeluar atau pengimport barangan tersebut juga tidak sepeka pengeluar produk makanan atau minuman.
"Disebabkan itulah amat sedikit pengusaha barangan kegunaan yang berminat untuk mendapatkan pengesahan dan logo halal," katanya.
sumber-ppim
No comments:
Post a Comment