Saturday, March 30, 2013

Festival Kopi....





"KOPI percuma, kopi percuma! Sila beratur untuk mendapatkan kopi anda," jerit seorang gadis genit, sambil menggamit pengunjung ke gerai pamerannya Royal Vietnam Moka.
Aroma kopi yang segar membuatkan orang ramai berpusu-pusu beratur untuk meneguk kopi yang diberikan.
Selang beberapa gerai dari ruang pameran Royal Vietnam Moka, suasana yang sama juga dapat diperhatikan di sebuah trak Nescafe.
Ramai yang tidak kisah menunggu dalam barisan panjang semata-mata untuk menikmati secawan Nescafe panas.
Sejak empat tahun lalu, menjelang pertengahan Mac, kawasan tanah tinggi Buon Ma Thuot di daerah Dak Lak, Vietnam bertukar wajah menjadi sebuah tapak pesta.
Dengan status sebagai pengeluar kedua terbesar kopi di dunia, Vietnam selayaknya menjadi penganjur sebuah Festival Kopi yang mengumpulkan pencinta minuman itu dari seluruh dunia.
Diadakan dari 10 hingga 14 Mac, ia berjaya menarik pakar kopi dari Brazil, Colombia, Indonesia, India, Mexico dan Guatemala.
Setakat tahun 2012, Vietnam berada di belakang Brazil sebagai pengeluar terbesar kopi dunia dengan penghasilan sehingga 1.6 juta tan setahun.
Namun, uniknya di Festival Kopi Vietnam ini pengunjung bukan sahaja berpeluang melawat ruang pameran yang mempamerkan jenis-jenis kopi, teknik menyediakan kopi atau cara yang betul menikmati secawan kopi.
Bagi memeriahkan festival tahunan ini, penganjur turut menyajikan pelbagai aktiviti lain seperti perarakan, persembahan muzik, tarian dan pertandingan ratu kopi.
Tahun ini, Nguyen Lam Diem Trang dari selatan Vinh Long ditabalkan sebagai Ratu Kopi Vietnam 2013.
Mahasiswi Universiti Ho Chi Minh itu bukan sahaja menawan 10,000 penonton dengan kecantikannya, bahkan dengan penguasaan pengetahuan kopi.
Tidak ketinggalan, menambahkan lagi ragam pada Festival Kopi Vietnam sekumpulan gajah turut diarak masuk ke kawasan festival sebagai kejutan kepada pengunjung.

Ratu Kopi 2013


sumber;kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...